Mengurus Risiko Pengurusan Modal Semasa Mula Bisnes
Modal permulaan mudah habis tanpa disedari. Ini cara menguruskan risikonya dari awal.
Semasa memulakan bisnes, duit yang dibawa masuk itu sudah jadi modal bisnes. Ini bermaksud hak ke atas duit itu sudah hilang. Jadi mesti ada pengurusan risiko berkaitan modal semasa memulakan bisnes.
Risiko paling besar semasa memulakan bisnes ialah risiko bisnes tidak menjadi. Duit modal itu akan hangus. Jadi supaya orang bisnes boleh mengurus risiko bisnes tidak menjadi berikut adalah perkara yang mesti dibuat dahulu:
1. Mulakan Bisnes Dengan Modal Rendah
Ramai orang sangka memulakan bisnes itu memerlukan duit modal yang besar. Bagi mereka yang tidak pernah buat bisnes, adalah digalakkan untuk memulakan bisnes dengan modal yang rendah. Jika bisnes tidak menjadi masih boleh tidur dengan aman.
1. Jangan Beli Peralatan, Sewa Sahaja atau Beli Yang Terpakai
Sebenarnya semasa mulakan bisnes tidak perlu beli terus peralatan yang mahu digunakan. Banyak pilihan yang boleh dipertimbangkan seperti menyewa sahaja peralatan itu. Contohnya mahu mulakan bisnes buat kek, mesin dan peralatan boleh disewa dari orang lain dahulu. Beri tahu mahu sewa sebulan dahulu. Jika sudah ada rentak boleh beli mesin yang baru. Boleh juga beli mesin terpakai sahaja. Banyak yang dijual di pasaran barangan terpakai dengan harga lebih murah.
1. Jangan Pinjam Duit Bank, TEKUN atau MARA Untuk Mula Buat Bisnes
Apabila mahu mula buat bisnes, jangan sesekali pinjam duit bank, TEKUN atau MARA. Ini kerana apabila mula buat bisnes margin keuntungan masih tidak pasti lagi. Bimbang margin keuntungan itu lebih rendah berbanding kos faedah pinjaman lebih tinggi berbanding peratus keuntungan. Contohnya, jika pinjam duit bank dengan kadar faedah 6% setahun. Apabila disemak margin untuk bisnes pula hanya 5% setahun. Memang bank buat duit dengan senang sahaja. Orang bisnes itu yang rugi.
Selain itu, risiko untuk bisnes tutup semasa tahun pertama juga sangat tinggi. Apabila bisnes itu tutup, pinjaman itu masih perlu dibayar. Ini memang masalah besar. Duit sudah habis, bisnes sudah tutup, tetapi pinjaman perlu dibayar.
1. Jangan Buat Renovasi Yang Mahal
Semasa mulakan bisnes, tidak boleh dinafikan perasaan teruja itu memang ada. Perasaan teruja mahu beri yang terbaik itu diterjemahkan hingga ke proses renovasi kedai atau pejabat. Ya memang kedai yang cantik itu mainkan peranan penting juga. Cuma apabila baru mulakan bisnes, modal itu sangat berharga jadi jika dibelanjakan untuk renovasi, nanti kedainya sahaja cantik tetapi orang tidak tahu kewujudan kedai itu kerana tidak ada marketing. Ini termasuklah memasang perabot yang melekat di dinding. Nanti sekiranya selera berubah, perabot itu jadi sampah.
1. Bersikap Lebih Terbuka Kepada Kerjasama Dan Kolaborasi
Apabila orang yang baru mulakan bisnes dengan modal rendah, ini bermakna mesti banyak melakukan kerjasama dan kolaborasi. Jadi mesti bersikap lebih terbuka kepada peluang-peluang seperti ini. Contohnya mahu buat kedai makan. Oleh kerana modalnya kecil, kolaborasi dengan pemilik kedai makan sedia ada yang tidak tawarkan menu yang sama. Boleh sewa ruang yang ada untuk menjual menu tersebut. Untuk memastikan boleh bekerjasama dan berkolaborasi, mesti bersikap terbuka.
Hubungi saya →