Masalahnya Bukan Produk Kewangan. Masalahnya Siapa Yang Memberi Nasihat
Nasihat beli emas mungkin betul. Nasihat ambil takaful mungkin betul. Nasihat simpan dalam ASB pun mungkin betul. Tetapi betul tidak semestinya baik untuk keadaan kewangan anda sekarang. Masalahnya, terlalu banyak nasihat kewangan bermula dengan produk yang mahu dijual dan bukan masalah yang perlu diselesaikan. Jadi sebelum ikut apa-apa nasihat kewangan, ada satu soalan yang lebih penting daripada: “Produk ini bagus ke?” Saya terangkan dalam artikel ini.
Masalah industri kewangan bukan kekurangan nasihat.
Masalahnya terlalu ramai memberi nasihat berdasarkan apa yang mereka jual.
Penjual emas akan bercakap tentang emas.
Ejen takaful akan bercakap tentang perlindungan.
Ejen unit trust akan bercakap tentang pelaburan.
Orang hartanah akan bercakap tentang hartanah.
Masing-masing mungkin memberikan nasihat yang betul.
Tetapi nasihat yang betul belum tentu nasihat yang baik untuk orang yang menerimanya.
Ini perbezaan yang sangat besar.
⸻
Bayangkan seseorang hidup paycheck to paycheck.
Gaji masuk RM3,000.
Hujung bulan tinggal RM100–RM200.
Simpanan kecemasan tidak ada.
Kereta rosak RM800 pun sudah kena pinjam orang.
Kemudian kita nasihatkan:
“Belilah emas sedikit setiap bulan. Paksa diri menyimpan. Kalau sesak nanti boleh gadai.”
Salah ke beli emas?
Tidak.
Tetapi adakah itu masalah paling penting yang perlu diselesaikan oleh orang tadi?
Tidak juga.
Masalah dia bukan tidak ada emas.
Masalah dia ialah tidak ada ruang bernafas dalam cashflow.
Dia perlukan tunai kecemasan.
Sebab kalau minggu depan anak sakit, tayar pecah atau gaji lambat masuk, dia perlukan duit yang boleh digunakan terus.
Bukan aset yang perlu dijual atau digadai dahulu untuk mendapatkan tunai.
Lebih pelik kalau kita sengaja menukar tunai kepada aset, kemudian apabila kecemasan berlaku kita perlu menanggung spread harga atau kos tertentu untuk menukarkannya kembali kepada tunai.
Kenapa mahu cipta satu lagi lapisan kos dan risiko kepada duit yang memang tugasnya untuk kecemasan?
⸻
Begitu juga dengan takaful.
Saya tidak kata takaful tidak penting.
Perlindungan memang penting.
Tetapi kalau seseorang bergaji RM3,000, tidak mempunyai simpanan dan setiap bulan sudah sesak…
Kemudian kita jual pelan RM500 sebulan kerana:
“Kita tidak tahu apa akan berlaku esok.”
Ya.
Kita memang tidak tahu apa akan berlaku esok.
Sebab itulah dia juga perlukan cashflow yang sihat dan tunai kecemasan.
Kalau perlindungan yang dibeli menyebabkan dia semakin sesak setiap bulan, kita perlu bertanya:
Adakah kita sedang menyelesaikan risiko kewangan dia, atau sedang mencipta risiko kewangan yang lain?
Perlindungan yang baik bukan perlindungan paling mahal yang dia mampu tandatangan.
Ia perlindungan yang sesuai dengan risiko, tanggungan dan kemampuan cashflow dia.
⸻
Sekarang pergi kepada orang lain pula.
Dia ada RM200,000 tunai.
Pendapatan stabil.
Dana kecemasan cukup.
Hutang terkawal.
Kemudian kita beri nasihat:
“Simpan sahaja semua dalam ASB. Selamat.”
ASB tidak bagus?
Bukan begitu.
Persoalannya:
Adakah itu strategi terbaik untuk RM200,000 milik orang tersebut?
Apa matlamat dia?
Bila duit itu diperlukan?
Berapa kecairan diperlukan?
Berapa risiko yang dia sanggup tanggung?
Ada aset lain?
Ada tanggungan?
Ada perancangan jangka panjang?
Kalau semua itu kita tidak tahu, bagaimana kita boleh terus mencadangkan produk?
⸻
Inilah masalah apabila perbincangan kewangan bermula dengan:
“Produk apa patut beli?”
Sedangkan soalan pertama sepatutnya:
“Apa masalah kewangan yang sedang cuba diselesaikan?”
Produk datang kemudian.
Diagnosis datang dahulu.
Doktor yang baik tidak tunggu pesakit buka pintu kemudian terus cakap:
“Nah, makan ubat ini. Ubat ini bagus.”
Dia tanya simptom.
Dia periksa.
Dia cuba memahami masalah.
Kemudian baru dia tentukan rawatan.
Tetapi dalam kewangan kadang-kadang terbalik.
Produk sudah ada.
Kemudian kita cari masalah yang membolehkan produk itu dijual.
⸻
Sebab itu kita juga kena faham satu perkara yang jarang orang mahu bincangkan:
Insentif.
Kalau pendapatan seseorang datang daripada menjual emas, sudah tentu emas sentiasa kelihatan menarik.
Kalau pendapatannya datang daripada polisi, sudah tentu perlindungan akan menjadi topik utama.
Kalau komisen datang daripada pelaburan, pelaburan akan kelihatan seperti penyelesaian.
Ini tidak bermaksud mereka semua menipu.
Tetapi insentif boleh mempengaruhi perspektif.
Kalau saya memegang tukul, banyak benda akan mula kelihatan seperti paku.
Sebab itu sebagai pengguna, jangan sekadar bertanya:
“Nasihat ini betul ke?”
Tanya satu lagi:
“Nasihat ini baik ke untuk keadaan aku sekarang?”
⸻
Saya tidak anti-emas.
Saya tidak anti-takaful.
Saya tidak anti-ASB.
Saya tidak anti-unit trust.
Saya tidak anti-hartanah.
Semua itu alat.
Masalah bermula apabila alat dijual sebagai penyelesaian sebelum masalah sebenar dikenal pasti.
Orang yang sedang lemas perlukan pelampung.
Orang yang sudah berada di darat mungkin perlukan kenderaan.
Orang yang sudah mempunyai kenderaan pula perlukan destinasi.
Jangan jual kenderaan kepada orang yang sedang lemas.
Sebelum membeli apa-apa produk kewangan, tanya:
Apa masalah yang produk ini selesaikan?
Adakah itu masalah utama aku sekarang?
Apa kos dan risikonya?
Apa alternatif yang aku ada?
Dan yang paling penting:
Orang yang memberi nasihat ini dibayar bagaimana?
Bukan untuk prejudis.
Bukan untuk menuduh.
Tetapi supaya kita tahu dari sudut mana nasihat itu datang.
Kerana dalam kewangan,
nasihat yang betul menerangkan kenapa sesuatu produk itu bagus.
Tetapi nasihat yang baik melihat keadaan kita dahulu sebelum bercakap tentang produk.
Jangan tanya dahulu:
“Apa patut aku beli?”
Tanya:
“Apa sebenarnya yang aku perlu betulkan?”
Itu dua soalan yang boleh membawa kita ke dua keputusan kewangan yang sangat berbeza.
Hubungi saya →