Kos & Harga · Januari 2024 ← Arkib

Jangan Kerana Kos Itu Tidak Ada, Orang Bisnes Sangka Kos Itu Tidak Wujud

Kos yang tidak dibayar dengan duit tetap kos. Mengabaikannya menjadikan untung nampak lebih besar daripada realiti.

Apabila orang bisnes tengok penyata untung rugi, atau tengok kos bisnesnya, ada kos yang tidak ada. Ini 6 contoh situasi yang terjadi untuk orang bisnes. Nombor 6 paling selalu terjadi:

1. Sewa Premis Atau Pejabat Yang Tidak Perlu Dibayar Kerana Buat Bisnes Di Rumah

Ada bisnes yang bermula dari rumah kemudian bisnesnya semakin maju dan mereka kemudiannya berpindah ke premis atau kedai. Apabila mereka berpindah ke premis, mereka merasakan bahawa keputusan itu sangat membebankan mereka. Ini kerana kos itu dianggap tidak wujud.

Contoh yang sering terjadi ialah kedai makan. Sebelum ini buat bisnes dari rumah, apabila sudah berpindah ke premis mereka sukar untuk bertahan kerana kos ini walaupun tidak ada tetapi kos ini wujud.

2. Kos Utiliti Tidak Perlu Dibayar Kerana Bisnes Dari Rumah

Apabila buat bisnes dari rumah, kos utiliti itu tidak dibayar oleh bisnes itu. Antara kos utiliti ialah seperti elektrik, air dan wifi. Kos itu mungkin dibayar oleh suami jadi isteri yang buat bisnes cuma guna sahaja.

Contohnya ialah buat kek. Kek dibuat dirumah jadi kos ini tidak dibayar oleh bisnes itu. Jadi apabila berpindah ke premis, di premis pula kadarnya berlainan dengan rumah. Kos itu sebenarnya mahal tetapi tidak dirasai kerana kos itu selama ini ditanggung rumah.

3. Kos Gaji Pekerja Untuk Kerja Yang Dibuat Sendiri Oleh Pemilik Bisnes

Sebelum ini banyak kerja-kerja yang dibuat sendiri oleh pemilik bisnes. Jadi banyak kos tidak dibayar. Walaupun kos itu wujud, duit belum perlu keluar pada waktu itu. Semasa bisnes masih kecil, orang bisnes itu boleh buat sendiri invoice, boleh buat sendiri quotation, boleh bungkus sendiri barangnya dan boleh hantar sendiri barang jualannya.

Apabila bisnes sudah berkembang, kos ini tiba-tiba sudah perlu dibayar kerana sudah tidak mampu untuk buat kerja-kerja itu. Kerana sangkaan kos itu tidak wujud, ianya dirasakan sebagai beban kepada pemilik bisnes.

4. Kos Minyak dan Selenggara Kereta Yang Menggunakan Kereta Sendiri Untuk Hantar Barang

Kereta itu digunakan untuk kegunaan peribadi. Apabila buat bisnes, banyak urusan menggunakan kereta itu. Oleh kerana kereta itu dibayar sendiri atau mungkin dibayar oleh pasangan, jadi kos itu tidak dirasai.

Contohnya kes hantar barang pelanggan. Dahulu, sehari cuma perlu hantar 10 kek tapak kuda kepada pelanggan. Selepas setahun pesanan sudah bertambah jadi 100 kek tapak kuda sehari. Oleh sebab itu, bisnes itu ambil perkhidmatan lala move. Oleh kerana menggunakan perkhidmatan lala move ada kos perlu dibayar, jadi kos ini jadi beban kerana kos ini disangka tidak wujud.

5. Kos Selenggara Dan Baiki Premis atau Kedai Tidak Perlu Bayar Kerana Bisnes Tepi Jalan

Ramai orang bisnes terutama bisnes kedai makan bermula dari bisnes tepi jalan. Ada juga yang sudah berpuluh tahun. Bisnes tepi jalan banyak kos yang tidak dibayar terutama kos selenggara dan kos pembaikan.

Contoh kes ini ialah seperti kos baiki tandas, kos baiki paip, kos baiki pintu, dan kos baiki dapur. Oleh kerana bisnes tepi jalan, kos ini tidak ada tetapi kos ini wujud.

6. Cukai Yang Tidak Dibayar Kerana Cukai Tidak Dilaporkan

Inilah kos yang paling disangka ada tetapi kos ini sebenarnya wujud. Memanglah kos ini tidak ada kerana pendapatan tidak dilaporkan jadi tidak ada cukai yang perlu dibayar. Apabila sudah dilaporkan, ada yang terkejut tahap “jaw drop”. Ramai yang melompat kerana mereka tidak sangka cukai itu sebanyak itu perlu dibayar.

Hubungi saya