Cukai · Ogos 2026 ← Arkib

Bukan LHDN Yang Patut Anda Takut — Tapi Rekod Bisnes Yang Bersepah

Surat daripada LHDN tidak semestinya mimpi ngeri. Yang menjadikannya menakutkan ialah apabila kita sendiri tidak tahu berapa jualan, berapa belanja dan berapa untung bisnes kita. Peniaga kecil sebenarnya bukan takut LHDN. Mereka takut apabila rekod sendiri mula ditanya.

Kenapa Peniaga Kecil Takut Dengan LHDN (Dan Kenapa Sepatutnya Tak Payah)

Ramai peniaga kecil bila dengar emapt huruf "LHDN", terus jantung berdegup laju. Ada yang buat-buat tak nampak. Ada yang simpan resit dalam kotak kasut, campur dengan bil lama dan surat bank. Ada yang terus fikir, "Bisnes aku kecil sahaja, LHDN takkan kacau aku."

Kita takut sebab kita tak faham. Bila tak faham, kita sangka LHDN ni macam jerung yang tunggu masa nak makan kita. Padahal masalah sebenar bukan pada LHDN. Masalahnya pada rekod kita yang bercelaru.

Surat dari LHDN tu bukan surat ugutan. Anggap ia surat cinta. Sekadar cuma nak tanya, "Duit kau masuk berapa, keluar berapa, ada untung berapa, ada income lain tak?" Kalau kita ada jawapan yang kemas, surat tu jadi benda kecil. Kalau kita tak ada rekod, barulah ia jadi mimpi ngeri.

Ini 3 sebab kenapa peniaga kecil patut berkawan dengan LHDN, bukan lari:

1. Yang Buat Kita Kena Denda Bukan Cukai Tetapi Rekod Yang Hilang

Kebanyakan peniaga yang kena masalah bukan sebab mereka untung besar. Mereka kena sebab tak boleh buktikan apa-apa. Bila LHDN tanya jualan setahun berapa, mereka jawab agak-agak. Bila ditanya belanja pula, resit dah hilang.

Bila sukar buktikan belanja, LHDN kira semua duit masuk sebagai untung. Contoh, jualan RM200,000 setahun, tapi tak ada rekod kos. Maka mereka kira untung RM200,000 penuh. Padahal untung sebenar mungkin RM40,000 sahaja. Bezanya besar, dan denda pun ikut besar.

Simpan resit. Rekod setiap masuk keluar. Itu bukan kerja akauntan. itu kerja harian.

2. Bayar Cukai Bermakna Bisnes Kita Betul-Betul Wujud

Ramai menyangka bayar cukai itu rugi.

Terbalik.

Bila kita ada income sampai kena bayar cukai, itu tanda bisnes kita sudah cukup besar untuk untung sebenar.

Lagi satu, rekod cukai yang kemas ni jadi bukti pendapatan. Nak mohon pinjaman bank? Bank tengok penyata cukai. Nak besarkan kedai, nak beli premis, nak sewa lot baru? Semua ni nak tengok kita ada income yang boleh dibuktikan. Peniaga yang lari cukai selalunya terperangkap dalam situasi seperti bisnes jalan seperti biasa, tapi atas kertas mereka macam tak wujud.

3. Duit Cukai Boleh Dikurangkan Dengan Cara Yang Sah

Ramai tak tahu, banyak belanja bisnes boleh ditolak sebelum kira cukai. Sewa kedai, gaji staff, bil utiliti, kos marketing semua ni boleh tolak.

Contoh mudah, kalau jualan RM150,000 dan belanja sah RM100,000, kita hanya kena cukai atas RM50,000. Bukan RM150,000. Tapi semua ni hanya jalan kalau kita ada rekod. Tiada rekod, tiada potongan. Jadi bukan kita elak cukai sebaliknya kita urus cukai dengan betul.

Peniaga kecil bukan takut LHDN. Mereka takut dengan rekod sendiri yang bersepah.

Bila buku kita kemas, LHDN bukan lagi jerung. Ia jadi cermin yang tunjuk keadaan sebenar bisnes kita. Mula hari ini, buka satu akaun bisnes berasingan, simpan setiap resit, dan catat setiap sen.

Bisnes yang lari dari cukai bukan bijak. Dia cuma tengah tunggu giliran.

Hubungi saya