Modal & Tunai · Januari 2024 ← Arkib

8 Cara Bagaimana Mahu Buat Persediaan Buat Pinjaman Modal Dari Bank

Bank tidak menolak kerana bisnes tuan puan kecil. Ini lapan persiapan yang membuatkan permohonan modal diterima.

Bisnes mesti sentiasa bersedia untuk boleh buat pinjaman dari bank. Walaupun belum mempunyai keperluan, tetapi mesti bersedia. Berikut ialah 8 cara untuk buat persediaan:

1. Pastikan Ada Lesen Perniagaan

Ini adalah perkara asas. Mahu berniaga, mesti ada lesen. Nak memandu pun kenalah ada lesen baru boleh pandu kereta. “Eh boleh la pandu kalau tak ada lesen, asal jangan kena saman saja.” Ya betul, boleh saja bisnes tiada lesen. Tapi, seandainya berlaku kemalangan dan sebagainya bukankah anda mati katak? Begitu juga dengan bisnes.

2. Buka Akaun Bank Semasa Untuk Bisnes

Untuk bisnes, mesti buka akaun bank semasa atas nama bisnes. Perkara yang tidak betul ialah, berniaga tapi guna akaun simpanan. Bank tidak membenarkan untuk menggunakan akaun bank simpanan untuk berniaga. Risikonya, bank boleh arahkan untuk membekukan akaun bank tersebut. Akhirnya kena arah tutup sebab ini akaun simpanan. Jadi mahu bisnes mesti guna akaun semasa.

3. Sewa Alamat Perniagaan

Walaupun belum mampu ada kedai, sewa dahulu alamat. Banyak management company yang buat servis sewakan alamat premis. Mahu yang murah pun ada yang nak mahal pun ada. Ini sangat penting sebab ini bagi gambaran bisnes kita itu wujud. Istilahnya orang panggil ‘virtual office’.

4. Buat Akaun Setiap Tahun

Untuk orang kerajaan nak buat pinjaman, dia perlukan surat lantikan, slip gaji dan macam-macam lagi dokumen. Sebab dokumen ini diminta sebagai bukti kita kerja dengan kerajaan. Jadi samalah macam orang bisnes.

Nak buat pinjaman mestilah ada bukti kita bisnes. Salah satu bukti ialah bisnes mesti ada akaun. Akaun itu ada penyata untung rugi, penyata kedudukan kewangan dan cash flow statement. Dari sinilah bank tengok, berapa jualan bisnes setahun, berapa untung bersih setahun, apa aset tetap yang bisnes itu ada, berapa hutang yang ada dengan pembekal dan berapa modal yang sudah dikeluarkan.

5. Lapor Cukai Dan Bayar Cukai Jika Ada

Selain dari akaun, bisnes juga perlukan borang cukai sebagai bukti buat bisnes. Dari sini bank akan tengok, betulkah laporan akaun bisnes itu? Ini kerana ada bisnes dalam laporan akaun, untung ratus ribu. Dalam laporan cukai tiba-tiba untung bersih jadi RM30,000. Sebab apa? Mahu bayar cukai yang rendah. Apabila tidak sama yang dilaporkan, bank akan terus tolak sebab atas alasan tidak telus melaporkan pendapatan.

6. Ambil ASB Financing

Sewaktu mula buat bisnes, bank kurang yakin lagi dengan disiplin membayar hutang. Jadi bank perlu rekod bayaran hutang sekurang-kurangnya satu tahun. Ini membina profil CCRIS dan CTOS.Nama bersih dari pinjaman sebenarnya bukanlah perkara yang baik untuk bisnes. Untuk orang bisnes ini sangat penting. Bisnes susah hendak dapat pinjaman bank jika nama pemilik tidak ada rekod pinjaman.

7. Akaun Bank Mesti Aktif Dengan Kemasukan Dan Pengeluaran Duit

Apabila hendak yakinkan bank bahawa bisnes itu bagus, mestilah ada transaksi bank. Bagaimana bank mahu yakin jika deposit bank hari pertama itu sajalah satu-satunya transaksi yang pernah berlaku.Walaupun bisnes tepi jalan, mesti ada disiplin masukkan duit ke dalam bank setiap hari. Bisnes itu nampak kacak dimata bank. Tunjuk sahaja penyata bank, bank sudah yakin bahawa bisnes itu bagus.

8. Buat Akaun Simpanan Tetap

Simpanan tetap di bank juga memberi pulangan yang bagus. Yang pentingnya simpanan itu tiada susut nilai seperti emas yang terdedah kepada naik turun pasaran. Jadi, apabila bisnes perlukan modal, boleh cagarkan simpanan tetap itu. Bank juga lebih yakin dengan bisnes yang mempunyai simpanan tetap apabila nak buat pinjaman.

Hubungi saya