Mindset & Strategi · Januari 2024 ← Arkib

3 Halangan Menyebabkan Bisnes Sukar Berkembang

Bisnes tidak berkembang bukan kerana tiada peluang, tetapi kerana tiga halangan dalaman ini.

Dalam sebuah podcast Seth Godin dan isterinya Helene, beliau mendefinisikan scaling atau membesarkan bisnes bermaksud kita sanggup memberikan hak kepandaian kepada orang lain dan biarkan orang lain tahu dan tiru bagaimana nak buat sesuatu perkara.

Contohnya bisnes nasi lemak, kalau hari ini bisnes itu boleh buat 100 bungkus nasi lemak dan hanya seorang sahaja yang pandai buat nasi lemak maka bisnes itu cuma boleh jual 100 bungkus nasi lemak.

Ini bermaksud menurut Seth Godin, kalau bisnes itu ada 5 orang yang pandai buat nasi lemak maka bisnes itu boleh hasilkan 500 bungkus nasi lemak.

Ada 3 halangan mengapa orang bisnes sukar berkembang:

1. Mereka Takut Orang Lain Pandai

Inilah faktor yang merantai ramai orang bisnes. Dia mahu buat bisnes tapi dia juga yang masak nasi lemaknya, dia yang masak sambalnya, dia yang bungkus, dia juga yang bawa ke gerai dan dia juga yang jual.

Semua perkara dia buat. Orang yang dia panggil bekerja cuma sebagai pembantu. Bantu kupas telur, bantu menjual, bantu buka kanopi dan sebagainya.

2. Mereka Tidak Mahu Orang Meniru

Mereka tidak mahu ada satu lagi nasi lemak yang sama. Sedangkan kalau telur itu direbus oleh Abu dan telur yang satu lagi direbus oleh Ali, kedua-duanya tetap akan jadi telur rebus.

Bayangkan kalau McDonald itu hanya Richard dan Maurice McDonald sahaja yang pandai buat burgernya. Mungkin kita tak tahu kewujudan McDonald di California 80 tahun dahulu.

3. Mereka Mempunyai Ego Hak Milikan

Kalau boleh resepinya itu dia sahaja yang tahu. Sedangkan para chef mengeluarkan resepi mereka dalam buku tetap juga rasanya berbeza. Inikan lagi nasi lemak yang ada pelbagai adunan resepi. Contohnya Nasi Lemak Ali, resepinya itu memang khas dia sahaja yang boleh buat.

Walaupun orang tahu bahan-bahannya dan cara buatnya bagaimana tidak mungkin rasanya sama. Jadi hak milikan ini hanya ada pada hak milikan bisnes. Sebab itu, semua orang tahu bagaimana nak buat burger McDonald. Tanyalah kepada puluhan ribu staff mereka seluruh dunia. Semua akan cakap benda yang sama.

Kesimpulannya ialah jika mahu besarkan bisnes, orang yang bersama dalam bisnes itu mesti pandai buat kerja-kerjanya. Walaupun pemilik sendiri tidak pandai buat aircond, boleh ada pekerja yang pandai. Jika tak pandai masak, ada pekerja yang pandai masak. Jadi ini bermaksud, pemilik yang mesti pandai jadi majikan dan jadi pemimpin.

Hubungi saya