Mindset & Strategi · Januari 2024 ← Arkib

3 Faktor Bisnes Francais Tidak Sesuai Untuk Golongan Baru Mulakan Bisnes

Sistem yang sudah siap nampak selamat, tetapi tiga faktor ini menjadikan francais berat untuk orang yang baru mula.

Kesedaran orang tentang peluang dalam bisnes francais sekarang sudah ada. Bagi mereka yang sudah ada ilmu bisnes dan modal bisnes, bisnes francais memang bagus. Tidak kira sama ada kita buat bisnes francais, trading atau apa sahaja, peluang untuk berjaya dan gagal adalah sama.

Ini tiga sebab mengapa golongan pemula tidak sesuai buat bisnes francais:

1. Tidak ada pengalaman menjalankan bisnes

Untuk pemula bisnes hendak masuk dalam bisnes francais, mereka ini tidak pernah menjalankan bisnes. Bisnes francais yang hendak dibuka inilah bisnes pertama mereka. Mereka tidak tahu naik dan turun bisnes ini macam mana, mereka tidak tahu baca angin ekonomi pembeli sama ada sedang kencang atau surut.

2. Tidak ada jaringan dalam bisnes

Bagi mereka yang baru mahu mulakan bisnes, jaringan mereka bukan datang dari jaringan yang buat bisnes. Mereka itu kawan-kawan sekolah, universiti atau kawan dari kecil. Bagi mereka yang sudah buat bisnes, ini kelebihan: mudah dapat kepercayaan pembekal dan mudah dapat pinjaman daripada bank. Nak buat ubah suai kedai pun mereka tahu siapa kontraktor yang bagus.

3. Modal bisnes yang terhad semasa memulakan bisnes

Untuk golongan pemula bisnes lazimnya modal itu datang dari simpanan, dari keluarga atau dari pinjaman peribadi. Dengan modal yang terhad itu, jika bisnes itu gagal maka habis semuanya. Bisnes tidak menjadi, hutang pula yang bertambah.

Bisnes francais ini untuk mereka yang sudah ada bisnes yang stabil, atau untuk mereka yang kalau modal itu hangus sekali pun mereka masih boleh tidur lena. Bisnes francais ini permainan budak besar, bukan permainan orang kecil. Orang kecil bisnesnya mesti hari ini modal masuk, esok duit untungnya sudah dalam tangan.

Hubungi saya